Ulasan Buku: Hubungan Antrabangsa: Teori dan Praktis
Tujuan utama penulis menulis buku ini adalah untuk mengisi kekurangan sumber rujukan bagi bidang Hubungan Antarabangsa (HA) dalam Bahasa Melayu. Buku ini ada menerangkan bagaimana HA menjadi salah sebuah disiplin akademik dan bagaimana ia dilihat sebagai satu fenomena. Tujuan asas HA adalah untuk mengkaji hubungan atau interaksi dalam kalangan negara.
Bagaimana HA muncul sebagai disiplin akademik? Yang pertama, kesan daripada Perang Dunia I (PDI). Kedua, mengkaji tingkah laku negara dan mengenal pasti cara-cara untuk menghindari perang. Ketiga, mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan PDI.
Selain itu, HA juga dilihat sebagai satu fenomena yang mana peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang melibatkan interaksi dalam kalangan pelaku seperti perdagangan antarabangsa, diplomasi, peperangan, lawatan rasmi oleh ketua-ketua negara dan pertukaran duta-duta.
HA merupakan salah satu cabang dalam Sains Politik. HA dan Sains Politik masing-masing menekankan isu-isu yang sama. Sains Politik menumpukan mengenai politik seperti perbandingan politik, falsafah politik dan pentadbiran awam. HA pula menumpukan isu-isu berkaitan dengan interaksi antara para pelaku termasuk analisis dasar luar, diplomasi, ekonomi politik antarabangsa dan peperangan. Disiplin lain yang menyumbang kepada HA adalah seperti sejarah, ekonomi, sosiologi dan undang-undang.
Perkara yang menarik pada saya dalam buku ini ialah penulis menerangkan fungsi-fungsi diplomasi. Topik ini terletak dalam Bab 8: Instrumen Dasar. Antara fungsi diplomasi ialah mengumpul maklumat. Maklumat yang dikumpul terdiri daripada politik, keselamatan, ekonomi, sosial dan budaya negara tuan rumah. Kemudian maklumat yang dikumpulkan itu akan dihantar ke negara asal diplomatik bagi memudahkan Kementerian Luar mengubal dasar.
Perkara lain yang menarik perhatian saya ialah Dasar Luar Konvesyen Vienna. Dasar ini mengenai perjanjian antarabangsa yang mentakrifkan rangka kerja untuk hubungan diplomatik antara negara merdeka. Ia menyatakan keistimewaan misi diplomatik yang membolehkan diplomat melaksanakan fungsi mereka tanpa rasa terancam di negara tuan rumah. Ringkasnya, dasar ini yang membentuk asas undang-undang untuk kekebalan diplomatik.
Dasar ini mempunyai 53 Perkara. Penulis tidaklah menghuraikan kesemua 53 Perkara yang terkandung dalam dasar tersebut. Antara Perkara yang dihuraikan ialah Perkara 24,27 dan 29. Perkara 24 menyatakan dokumen misi diplomatik tidak boleh dirampas. Perkara 27 pula, beg diplomatik tidak boleh dibuka walaupun disyaki kandungannya. Bagi Perkara 29, diplomat tidak boleh dihadapkan ke mahkamah negara tuan rumah kerana mereka kebal daripada pendakwaan sivil dan jenayah.
Walaupun buku ini lebih sesuai dibaca oleh pelajar-pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang Hubungan Antarabangsa, tetapi ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai bahan bacaan umum kerana laras bahasanya tidaklah terlalu akademik. Kepada sesiapa yang ingin mengetahui apa itu Hubungan Antarabangsa, boleh jadikan buku ini sebagai bahan rujukan kerana buku ini menerangkan secara am tentang HA. Buku ini turut sesuai untuk pemula yang ingin mengenal HA kerana dengan gambar rajah yang disediakan dapat memudahkan proses menghadam topik-topik yang dibaca.
Buku ini saya pinjam dari Perpustakaan Negara. Harga buku ini sekitar RM70. Agak mahal untuk seorang pelajar untuk memilikinya. Saya ingin menyarankan kepada pelajar-pelajar HA dan juga pelajar Pengajian Strategi untuk membaca buku ini kerana ia dapat menambah kefahaman kepada pelajar mengenai HA. Usaha penulis untuk mengangkat buku HA dalam Bahasa Melayu seharusnya diberi perhatian kerana di Malaysia, kita kekurangan buku-buku mengenai bidang HA dalam Bahasa Melayu. Saya harap selepas ini penulis-penulis buku ini dapat menulis lagi buku-buku mengenai HA dan ahli-ahli akademik lain dalam bidang ini juga harus mengambil peluang untuk menulis buku HA dalam Bahasa Melayu.
Ulasan
Catat Ulasan