Apa itu Pengajian Strategi?
"Belajar kos apa?"
"Pengajian Strategi."
"Oh, belajar strategi perang ke?"
"Eh, bukan. Belajar pasal pertahanan, ketenteraan, perang camtulah."
Aku sebenarnya susah nak jawab bila ada orang tanya Pengajian Strategi (PS) ni belajar apa. Bila orang tanya aku akan jawab tiga benda ni, pertahanan, ketenteraan dan peperangan. Aku sendiri pun tak puas hati dengan jawapan aku sebab nak terangkan kos apa yang aku belajar ni tak semudah dengan tiga perkataan tadi tu sebab pemahaman orang mungkin berbeza bila aku sebut tiga perkataan tu tanpa ada sebarang penerangan.
Pernahlah juga aku tanya pensyarah aku masa aku asasi, PS ni apa? Pensyarah aku tak dapat nak bagi satu jawapan yang bagus untuk aku faham apa itu PS. Ada pensyarah dari kos lain kata yang PS ni susah. Ada juga pensyarah dari kos lain bagitahu yang pensyarah yang ajar PS ni hardcore. Aku tak tahu kenapa dia kata macam tu hahahaha.
Ada pelajar UPNM kata PS ni kos paling susah dalam Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan (FPPP). Aku tak naklah claim kos aku susah kos lain senang. Aku percaya setiap kos ada susah senangnya. Ada juga pelajar kos lain kata "Wah, budak pandai" bila dapat tahu aku belajar kos ni. Ada senior aku kata "Kau dah fikir dua tiga kali ke nak amik kos ni?"
Bagi memudahkan untuk aku menerangkan apa itu PS, aku pun carilah buku-buku yang dapat bantu aku untuk memahami dengan lebih mendalam tentang PS. Ada dua buku yang aku pilih. Buku yang pertama tajuk 'Pengenalan Pengajian Strategik: Teknologi Ketenteraan dan Hubungan Antarabangsa' dan buku yang kedua 'Pengajian Strategi sebagai Disiplin Ilmu.'
Aku mulakan dengan buku yang pertama. PS dan Hubungan Antarabangsa (HA) merupakan disiplin akademik yang saling berkait. Aku dah terangkan pasal HA dalam artikel blog aku sebelum ni. Boleh baca Ulasan Buku Teori dan Praktis: Hubungan Antarabangsa. Objektif PS dan HA masing-masing membincangkan persoalan seperti kenapa perang boleh berlaku, kenapa dunia sering dilanda konflik dan kenapa keamanan di antara dua konflik atau peperangan diwujudkan.
PS ada identitinya tersendiri yang mana ia lebih fokus kepada strategik ketenteraan. Untuk PS, kaedah yang akan dibentuk adalah ketenteraan, konflik dalam sistem antarabangsa, dan objektif politik. Bidang PS ini juga berkaitan dengan kelengkapan perang dan bagaimana alat tersebut boleh menjejaskan hubungan dengan negara yang lain.
Konsep utama PS adalah seperti perlumbaan senjata, pertambahan senjata nuklear, pertahanan, cegah rintang, kawalan senjata dan perlucutan senjata. PS bukanlah tentang perlaksanaan operasi ketenteraan kerana ia dah di luar perdebatan strategi masa kini. PS membincangkan persoalan operasi dari segi politik tentang bagaimana kekerasan boleh digunakan untuk mengelak perang dan tidak hanya melihat dari sudut ketenteraan sahaja.
Sebelum zaman nuklear, pemikiran strategi adalah tentang bagaimana untuk mencapai kemenangan dalam sesebuah peperangan. Manakala selepas Zaman Nuklear wujudnya cara bagaimana untuk menghalang perang daripada berlaku iaitu dengan cara cegah rintang. Cegah rintang ialah tindakan untuk menghalang sesuatu perkara yang tidak dingini sebelum ia berlaku.
Masalah utama dalam PS, antaranya ialah keselamatan negara dalam dunia anarki (huru-hara) iaitu bagaimana untuk menyesuaikan strategi ketenteraan dalam keadaan dunia yang dikuasai pertukaran teknologi yang kerap dan radikal.
Kita beralih pula kepada buku yang kedua, 'Pengajian Strategi sebagai Disiplin Ilmu.' Peperangan merupakan subtajuk dalam PS. PS tidak hanya terhad kepada pengajian atau kajian mengenai strategi peperangan semata-mata, ia turut melibatkan persenjataan, teknologi, keputusan dan hubungan antarabangsa.
Strategi itu sememangnya berkait dengan perancangan peperangan dan melaksanakan perang serta pemikiran untuk mengelakkan perang. Pada masa sekarang, strategi tidak lagi tertumpu kepada panglima-panglima perang atau ketua-ketua tentera sahaja, tetapi juga kepada pemimpin dalam sesebuah negara.
Perang Dingin banyak mempengaruhi perkembangan strategi di mana lahirnya teori-teori seperti keseimbangan kuasa (balance of power), teori pengekangan (containment theory), pakatan (alliances), cegah rintang (deterrence), perebakan nuklear, kawalan senjata, perlucutan senjata dan pengurusan konflik.
Tokoh-tokoh pemikir strategi seperti Sun Tzu, Clausewitz, Alfred Thayer Mahan, Julian Starfford Corbett dan Giulio Douhett.
Antara persoalan yang dibangkitkan dalam PS ialah adakah pasukan tentera masih relevan dalam era nuklear? Mengapa tentera tidak dihapuskan dalam sesebuah negara?
Perkara yang aku suka pasal buku kedua ini penulis ada tulis pasal doktrin-doktrin keselamatan. Doktrin keselamatan ialah gabungan antara elemen tentera dan bukan tentera dalam mencapai agenda mempertahankan keselamatan negara.
Antara doktrin keselamatan ialah preemptive strike, preventive war, massive retaliation, containment counterforce and countervalue, flexible response, triad dan mutual assured destruction (MAD). Doktrin yang menarik perhatian aku doktrin MAD. Doktrin ini boleh digunakan sewaktu Perang Dingin, sekiranya US melancarkan nuklear terhadap Soviet Union, Amerika kemusnahan yang sama seperti Soviet Union hadapi.
Aku harap tulisan kali ini dapat membuka kefahaman pembaca tentang PS. Satu masalah yang aku perhatikan dalam bidang PS di Malaysia ini ialah kurangnya bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Pensyarah-pensyarah dalam bidang ini pun tidak ke depan dan berada dalam masyarakat. Jadi masyarakat pun tak tahu kewujudan bidang ini. Harapnya bidang ini akan berkembang dengan maju pada masa hadapan.
Ulasan
Catat Ulasan