Mengapakah Penulisan Akademik Bosan?
Universiti itu tempat terkumpulnya idea-idea hebat. Tetapi mengapa penulisan akademik boleh jadi bosan? Penulisan yang bagus memastikan pembaca tidak hilang minatnya dengan apa yang dibaca.
Penulis akademik perlu sedar mereka sebahagian dalam kalangan masyarakat. Apabila mereka menulis, mereka tidak menulis untuk diri mereka sahaja. Jika mereka mengasingkan diri mereka dengan pembaca, ia akan menimbulkan satu masalah untuk pembaca faham apa yang ingin disampaikan.
Dunia akademik dan pengajian tinggi sepatutnya mesra dengan masyarakat. Mereka perlu pastikan mereka mampu untuk berkomunikasi dengan siapa yang akan dengar dan menerima apa yang disampaikan.
Salah satu sebab mengapa penulisan akademik itu bosan kerana penulis akademik tidak memahami kepentingan mencerita. Mencerita adalah bukti bagaimana manusia berhubung antara satu sama lain sebelum manusia mampu menulis. Kita sebagai manusia memang hidup dengan cerita, setiap hujah adalah cerita dan setiap cerita adalah hujah. Jika penulis akademik terbiasa dengan pemikiran untuk berhujah, dia haruslah menghuraikan dengan cara naratif.
Penulisan akademik juga penuh dengan jargon. Jargon tidak salah. Jargon dijadikan sebagai satu cara untuk memastikan kefahaman kepada orang yang bercakap dalam bahasa yang sama. Tetapi jargon itu mencipta dua kumpulan iaitu kumpulan yang faham dan kumpulan yang tidak faham. Jika pembaca berada dalam kelompok yang tidak faham, dia akan rasa terasing. Pembaca pun akan hilang minat untuk terus membaca kerana tak faham apa yang disampaikan. Ramai penulis dalam dunia akademik menulis untuk menunjukkan diri mereka pandai sebaliknya mereka perlu berhubung dengan pembaca tentang apa yang mereka tulis.
Seharusnya, penulis perlu berhubung dengan pembaca sebenar-benarnya. Jika penulis faham dan menghargai orang yang inginkan sesuatu daripada mereka, mereka akan memenuhi kehendak pembaca dengan cara memudahkan pembaca apa yang ditulis.
Ulasan
Catat Ulasan