Midterm Seminar Pengajian Strategi

 Petang tadi punya midterm. Apa yang aku akan tulis ni mungkin tak semua orang akan faham melainkan siapa yang belajar dalam bidang hubungan antarabangsa dan pengajian strategi. Aku akan cuba untuk tulis dalam cara paling mudah untuk faham. Siapa nak baca dan nak tambahkan pengetahuan, silakan.



 Ada kawan aku yang masih lagi masih tak faham ataupun tak 'nampak' lagi apa benda teori hubungan antarabangsa yang mereka belajar ni. Teori macam realisme dan liberalisme memang wajib faham untuk pelajar yang belajar bidang ni. Kalau tak, memang susah nak faham macam mana sebuah negara bertindak atau berinteraksi dengan negara lain. 

 Fahamkan dulu apa itu hubungan antarabangsa? Aku singkatkan IR (international relations) la senang. IR adalah satu disiplin akademik yang pada asasnya untuk mengkaji hubungan atau interaksi dalam kalangan negara. Jadi nak kaji macam mana hubungan antara negara tu kena la ada pendekatan iaitu dengan menggunakan teori-teori yang ada dalam bidang IR. Teori-teorinya seperti Realisme dan Liberalisme. Sebenarnya ada banyak lagi tapi aku nak fokus dua ni sahaja. 

 Kita pergi dekat soalan pertama, apa itu realisme? Realis (orang berfahaman realisme) percaya bahawa peperangan tidak dapat dielakkan dan negara perlu bertindak mengikut kepentingan nasional dan cuba untuk mendapatkan atau menambah kekuasaan. Realis juga berpandangan bahawa dunia ini bersifat anarki iaitu tidak satu pemerintahan yang dapat mengawal mereka. Maksudnya mereka tidak perlu nak ikut undang-undang atau tunduk dekat mana-mana kuasa. Langgar je!

 Macam mana nak kaitkan dengan kes Laut China Selatan (LCS) ni? Tindakan China yang mengatur gerak tenteranya di LCS sekali gus tidak mematuhi undang-undang yang telah digubal oleh PBB iaitu UNCLOS menunjukkan China bertindak mengikut kefahaman realisme. Ikut kepada kefahaman realis, negara perlu mengutamakan kepentingan negara mereka. Kenapa China hantar negara mereka dekat LCS? Sebab untuk menjaga kepentingan negara mereka. Kemudian, realis percaya dunia ini anarki. Siapa boleh kawal China untuk berbuat demikian walaupun dah ada undang-undang? Tak ada bukan? Dekat sini dah nampak isi yang kedua yang boleh kaitkan dengan realisme. 

 Soalan kedua, pendekatan liberal yang macam mana? Tak lain tak bukan memang teori liberalisme la yang boleh kita kaitkan. Liberalisme pula teori dia macam mana? Liberalis percaya bahawa keamanan dapat dicapai dengan adanya undang-undang atau organisasi antarabangsa. Contohnya macam PBB. Golongan ini percaya yang PBB dapat membawa keamanan dan kesejahteraan kepada dunia. 

 Macam mana nak kaitkan dengan kes LCS ni? Dekat rantau Asia Tenggara ada organisasi apa? ASEAN kan? ASEAN boleh adakan persidangan dengan negara anggotanya untuk berbincang bagaimana nak selesaikan tanpa perlunya peperangan di LCS. Jadi kita dapat kaitkan tindakan ini sebagai salah satu pendekatan liberal.

 Seksyen B pula. Macam mana Balance of Power (BOP) atau keseimbangan kuasa dapat dicapai di LCS? Fahamkan dulu apa itu BOP.  BOP maksudnya pengagihan kuasa terhadap beberapa buah negara untuk memastikan tidak ada satu negara dapat mendominasi atau menguasai dalam sistem antarabangsa. 

 Dekat LCS, siapa yang berkuasa? China betul? Jadi seimbang tak kuasa kalau China je ada kat situ? Mestilah tak kan. Nak capai keseimbangan kuasa mesti ada kuasa besar lain yang dapat memastikan China tak menguasai dekat LCS. Siapa kuasa besar tu? US la. Tapi apa tujuan US nak terlibat sekali dengan kes LCS ni? Dia duduk benua lain kenapa dia nak menyibuk dekat sini? Baik, dekat sini kita kena tahu US pun ada kepentingan negara dia juga iaitu "freedom of navigation operations" (FONOPS). Apa benda FONOPS ni? FONOPS ni la yang membolehkan US nak bagi laluan kepada kapal komersial dan kapal tenteranya berlayar dekat LCS. Bila US gunakan FONOPS untuk terlibat dekat Laut China Selatan, maka boleh terjadinya keseimbang kuasa dekat LCS.

 Ada yang bagi idea nak wujudkan pakatan tentera antara negara Asia Tenggara yang terlibat dengan perebutan wilayah dekat LCS. Aku tak kata salah idea dia salah. Tapi, mampu tak pakatan tu untuk menyaingi dekat tentera China? Idea tu dah betul, tapi hujahnya tak kuat. Kalau pakatan tentera tu pun tak setanding dengan kekuatan China, tak jadi juga keseimbangan kuasa dekat LCS.

 Realisme dan liberalisme ni aku dah belajar sejak sem 1 lagi dalam kursus Peperangan dan Konflik. Keluar pula soalan pasal teori ni dalam final exam. Sem 2 belajar lagi teori ni dalam kursus Teori Hubungan Antarabangsa. Lagi sekali, keluar waktu final exam pasal teori ni. Sekarang ni sem 3 nak kaitkan pula dengan kajian kes. Barulah nampak macam mana teori ni boleh digunakan. 

 Ada yang masih lagi tak faham dengan dua teori ni dan juga BOP. Bila tanya power, ada yang kaitkan dengan hard power dan soft power. Kalau lecturer tanya apa itu realisme, ada yang boleh jawab. Ada jawab anarchy dan self-help. Betul, tak salah pun. Tapi adakah jawapan itu dihafal atau pun memang benar-benar faham? 

 Fahamkan dulu realisme dan liberalisme secara asasnya dulu. Realisme itu ada cabangnya juga iaitu neo-realisme, classical realisme dan neo-classical realisme. Belum lagi minta bezakan antara tiga-tiga cabang ni. Belum lagi minta ulas buku yang ditulis oleh sarjana-sarjana realisme seperti Kenneth Waltz dan Hans Morgenthau. Fuh lagi pening. Fahamkan dulu realisme maksud asasnya macam mana. Sama juga dengan liberalisme dan teori-teori lain. 









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kawan Perempuan

Apa itu Pengajian Strategi?

Ulasan Buku Pinkie Promise