Ulasan Buku Pengenalan Budaya Ilmu
Sebab utama aku memilih untuk baca buku ini selepas aku mendapat tahu istilah budaya ilmu daripada membaca tulisan Syed Hussein Alattas. Budaya ilmu ialah keadaan di mana semua lapisan masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan keilmuan dengan apa cara dan keadaan sekali pun. Budaya ilmu boleh dilakukan dengan pelbagai cara sama ada pembacaan, pendengaran atau pengalaman.
Yang paling terkesan pada aku dalam buku ini ada di bab 5: 'Budaya Ilmu di Malaysia'. Dalam bab ini penulis memuatkan nasihat, kritikan dan juga cadangannya tentang budaya ilmu di Malaysia. Penulis menyatakan bahawa tujuan utama pendidikan bukanlah untuk mendapatkan pekerjaan semata-semata, tetapi pendidikan bertujuan untuk menanamkan sifat cinta akan ilmu dan untuk menghayatinya sepanjang hidup. Menimba, menyebar dan menghayati ilmu perlu dilakukan sepanjang hidup kita dan tidak seharusnya berhenti setelah kita menamatkan pendidikan.
Pada zaman sekarang, pendidikan dilihat hanya sebagai suatu keperluan untuk mendapatkan pekerjaan atau untuk meraih status sosial. Pelajar-pelajar dibebankan oleh ibu bapa mereka sendiri supaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan sehingga mereka mengalami tekanan jiwa.
Tujuan pendidikan yang sebegini disebut sebagai 'diploma disease' oleh Ronald Dore, iaitu terkejar-kejar untuk mendapatkan sijil bukan kerana nilai pendidikannya tetapi kerana nilai ekonomi dan martabat sosial.
Disebabkan kita terlalu terkejarkan-kerjakan sijil, ini telah meletakkan keutamaan yang terlalu tinggi kepada peperiksaan besar seperti UPSR, PT3 dan SPM. Maka wujudlah 'budaya peperiksaan' sampai ke tahap eksploitasi seperti beribu buku panduan peperiksaan yang diterbitkan untuk memenuhi kehendak pelangggan yang tidak mahu gagal. Tekanan untuk tidak gagal telah menyebabkan sebahagian murid sanggup meniru dalam peperiksaan. Kecemerlangan murid, guru, guru besar dan sekolah diletakkan sebagai satu kriteria yang penting diletakkan atas kadar pencapaian peperiksaan.
Budaya peperiksaan telah menggantikan budaya ilmu di Malaysia. Para pelajar memang berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh, tetapi untuk peperiksaan bukan untuk memahami dan menghayati apa yang mereka belajar. Sebilangan besarnya, tidak lagi ingat apa yang mereka belajar setelah tamat peperiksaan. Cikgu-cikgu pula sibuk mengajar dengan tujuan untuk menghabiskan silibus dan juga untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan untuk murid-muridnya.
Sistem pendidikan kita lebih menggalakkan kepada hafalan, seharusnya menggalakkan kepada -pemikiran. Murid lebih cenderung kepada skema jawapan, hafalan dan soalan ramalan daripada memahami konsep atau teori. Hafalan itu tidak salah, tetapi hafalan yang bagus memerlukan beberapa kali pembacaan sahaja selebihnya dia mampu untuk menerangkan dengan kefahaman sendiri. Hafalan akan membuatkan kefahaman dan keilmuan dihalang apabila ia bertujuan hanya untuk melepasi peperiksaan sahaja.
Penulis juga menyatakan bahawa kebanyakan mahasiswa pada hari ini hanya pergi ke perpustakaan untuk menyiapakan tugasan, bersosial dan menjadi tempat untuk persediaan peperiksaan, Mereka tidak lagi meminjam buku-buku untuk dibaca di luar waktu kuliah.
Satu buku yang bagus untuk pembaca mengenali apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan budaya ilmu dan kritikan penulis terhadap sistem pendidikan.
Ulasan
Catat Ulasan