Video "Bagi contoh risikan apa? Kerja James Bond memang belajar lah?"
Cuba kita renung kembali, selama kita belajar di universiti ada tak kita berbincang dengan rakan sepengajian kita tentang mengapa kita memilih program yang kita belajar? Apa hala tuju kita selepas tamat belajar dan apa yang kita nak buat dengan kelayakan akademik yang kita peroleh dari universiti yang kita belajar?
Adakah kita melanjutkan pelajaran semata-mata mahukan segulung ijazah supaya tangga gaji kita lebih tinggi? Adakah kita sebenarnya benar-benar memahami apa yang kita belajar? Adakah kita benar-benar minat dengan apa yang kita belajar dan adakah ini yang terbaik buat kita?
Mahasiswa itu sepatutnya dilazimi dengan perbualan-perbualan tentang masa depan. Mereka itu harus sedar bahawa mereka itu bakal-bakal pemimpin di masa hadapan, sama ada mereka menjadi pegawai tentera, pegawai polis, pegawai kerajaan, pemilik syarikat dan apa-apa sahaja jawatan yang menjadikan mereka pemimpin. Seharusnya diwujudkan ruang untuk mahasiswa berbicara dan berfikir. Lihat sahaja program-program di universiti, berapa banyak program dialog yang melibatkan mahasiswa diadakan? Hampir tiada bukan?
Mengapa tidak ada satu 'kepala' yang mahu mengaturkan pertemuan antara pelajar junior hingga senior untuk berbincang tentang program yang mereka pelajari dan berbincang tentang kerjaya apa yang mereka boleh ceburi sesuai dengan kelayakan akademik mereka? Mengapa kurang badan pelajar yang menjemput alumni yang sudah bekerja dalam bidang yang mereka belajar untuk berkongsi dengan pelajar di universiti? Kalau tidak ada perkongsian daripada alumni, bagaimana mahasiswa hendak tahu ilmu mereka yang pelajari dapat digunakan sewaktu mereka bekerja nanti? Persatuan mahasiswa fakulti contohnya, boleh bekerjasama dengan pihak alumni universiti untuk menjemput alumni untuk berkongsi tentang kerjaya mereka.
Kita patut tahu sijil kita 'laku' dekat mana. Mengapa universiti wujudkan program-program yang namanya gempak-gempak tetapi mahasiswa yang mengambil jurusan itu tak tahu nak buat apa dengan sijil akademik mereka? Adakah universiti sengaja mahu buat duit dengan wujudkan program-program yang gah pada namanya? Aku bukan mahu salahkan universiti. Universiti memang tidak akan kisah ke mana kita akan pergi selepas tamat belajar dan universiti juga tidak pernah menjamin peluang pekerjaan kita.
Cuma aku risau orang yang pergi ke universiti tidak ada jiwa dalam apa yang mereka belajar. Belajar bukan kerana nak belajar tetapi hanya mahukan sijil atau status sosial. Tidak minat dan tidak mendalami apa yang mereka belajar juga satu hal. Belajar pula apabila peperiksaan hampir tiba. Selepas tamat peperiksaan, lupa terus apa yang sudah belajar. Inilah realiti yang berlaku kepada mahasiswa hari ini.
Ulasan
Catat Ulasan