Ulasan Buku Dua Sayap Ilmu
Ini kali pertama aku membaca buku yang ditulis oleh Syed Ahmad Fathi. Beliau sudah pun menulis beberapa buah buku ketika aku baru sahaja membaca buku ini. Aku follow penulis ini dekat Facebook dan sentiasa juga baca apa yang dikongsikan di media sosialnya.
Buku ini aku jumpa di perpustakaan awam di daerah aku. Bila aku jumpa buku ini di rak buku, aku terus letakkan buku ini dalam senarai buku yang akan aku baca semasa cuti nanti.
Dua Sayap Ilmu. Sayap yang pertama ialah membaca dan yang kedua ialah menulis. Membaca dan menulis adalah sayap ilmu yang perlu bergerak seiring. Ia tidak boleh dipisahkan.
Kita sering mendapat galakan untuk membaca tetapi apa yang nak dibaca kalau tiada siapa yang menulis? Siapa yang layak untuk menulis sebenarnya? Orang yang banyak membaca? Atau sarjana yang berkelulusan PhD?
Penulis dalam buku ini menceritakan bahawa beliau pernah dikritik kerana tidak mempunyai PhD untuk mengulas isu politik. Penulis membidas kritikan itu dengan menyatakan bahawa ahli-ahli politik sebahagian besarnya tidak mempunyai PhD pun untuk menjadi ahli politik. Jadi, mengapa kita perlukan PhD terlebih dahulu untuk mengkritik tentang isu-isu politik sedangkan mereka juga tidak ada PhD? Ini aku setuju.
Buku ini sebenarnya untuk orang yang sukakan membaca dan menulis. Ia boleh juga dijadikan sebagai alat motivasi untuk orang yang tidak ada minat terhadap pembacaan dan penulisan. Buku ini memuatkan esei-esei tentang pengalaman, pendirian dan juga pemikiran penulis sepanjang terlibat dengan pembacaan dan penulisan.
Aku sebagai seorang pembaca, aku menemui satu sudut pandang yang berbeza yang ada pada diri penulis iaitu penulis bukanlah seorang yang mahu membaca sebanyak mungkin buku-buku yang ada di dunia ini. Penulis lebih suka membaca sebuah buku itu dari kulit ke kulit, merenung serta berfikir sejenak setiap isi yang dibaca dan mengulas buku itu setelah selesai dibaca. Beliau mementingkan kualiti pembacaan berbanding kuantiti pembacaan.
Aku sebagai seorang yang menulis pula, menerima nasihat daripada penulis ini untuk percayakan penulisan kita. Jika tidak ada penerbit yang mahu menerbitkan penulisan kita, jangan risau ada cara lain. Kita terbitkan sendiri. Kita cari pencetak dan kita jual sendiri buku kita.
Menulis ini penting. Semua orang berhak untuk menulis. Tidak semestinya perlu menulis bahan ilmiah sahaja. Menulis tentang pengalaman kita juga boleh diambil kira. Kita mungkin rasa apa yang kita tulis itu biasa-biasa sahaja dan tidak yakin siapa yang akan membacanya. Percayalah, penulisan kita mungkin memberi inspirasi kepada orang lain. Kita tak tahu.
Buku ini sangat menyentuh aku sebagai seorang pembaca dan juga sebagai seorang yang baru berjinak dengan penulisan. Walaupun buku ini ada isi-isi yang berulang, tapi ia masih lagi seronok untuk dibaca. Ada tiga bab dalam buku ini, bab yang terakhir ialah bab yang tak berapa aku nikmati. Mungkin kerana aku tidak berapa minat dengan buku-buku agama.
Apa-apa pun, buku ini bagus. Boleh memberikan motivasi dan inspirasi kepada pembaca dan penulis di luar sana. Pergi baca!
Ulasan
Catat Ulasan