Ulasan Buku Introduction to Intelligence: Institutions, Operations, and Analysis

 Perisikan merupakan salah satu tajuk yang penting dalam bidang pengajian strategi. Semasa aku semester 1, aku ada kursus yang wajib aku ikuti iaitu Pengantar Pengajian Strategi. Salah satu bab yang aku belajar ialah perisikan. 

 Perisikan jika diteliti dalam garis masa sejarah, ia sudah berlaku beribu tahun lagi. Sun Tzu, pemikir strategi yang terkenal dalam sejarah telah menulis tentang kegunaan dan jenis-jenis perisik dalam karya agungnya The Art of War . 

 Ini bukan kali pertama aku membaca buku tentang perisikan. Ini kali kedua. Buku ini lebih menjurus kepada bidang perisikan yang berkembang menjadi sebuah disiplin akademik dan diajarkan di universiti-universiti. Dalam buku ini lebih menumpukan kepada komuniti perisikan di negara Amerika Syarikat. Tetapi, ada juga disentuh berkaitan dengan agensi perisikan di negara-negara lain dalam bab 4, Comparative Intelligence System. 

 Perisikan dijadikan sebagai alat untuk menjaga kepentingan negara. Jangan kita terpedaya dengan aksi perisik-perisik yang kita tonton dalam filem seperti James Bond atau watak Ethan Hunt dalam filem Mission Impossible. Perisikan yang sebenarnya tidaklah sebegitu rupa. Walaupun yang dipaparkan di filem itu mungkin ada benarnya, tapi ia tak semua kita boleh percaya. 

 Ada tiga pandangan terhadap perisikan yang dikemukan oleh sarjana. Pertama, aliran pemikiran Kent. Aliran pemikiran ini berasal daripada seorang profesor di Universiti Yale. Beliau berpendapat bahawa perisikan yang disatukan antara pegawai perisikan dan penggubal dasar akan menimbulkan masalah kerana ahli politik akan cenderung untuk mempolitikkan perisikan. Golongan ini perlu dipisahkan dalam beberapa sudut. Pegawai perisikan hanya perlu memberitahu apa yang perlu kepada penggubal dasar dan tidak lebih daripada itu. 

 Aliran pemikiran yang kedua diusulkan oleh Robert Gates. Beliau menyatakan pengawai perisikan perlu berkerjasama dengan mereka yang terlibat dengan dasar dan berusaha untuk mencapai objektif yang ditetapkan oleh politikus. 

 Aliran pemikiran yang terakhir ialah aliran pemikiran McLaughlin. Idea McLaughlin dilihat seimbang antara pemikiran Kent dan Gates. Beliau menegaskan perisikan itu keutamaannya terletak kepada penggubal dasar pada masa yang sama perlu diingatkan bahawa pegawai-pegawai perisikan itu mesti mengekalkan sikap profesionalisme dalam tugas mereka. 

  Bab 2, Intelligence History ialah bab yang menarik pada aku. Dihimpunkan dalam bab ini tentang sejarah perisikan dari zaman silam hingga ke abad ini. Disebabkan bab ini menumpukan tentang sejarah, jadi ialah lebih seronok untuk dibaca. 

 Buku ini memfokuskan kepada mereka yang belajar dalam bidang perisikan di Amerika Syarikat. Kalau kita yang bukan warganegara Amerika Syarikat pun tidak ada masalah kalau ingin membacanya. Pembaca akan mengenali banyak perkara yang berkait dengan kegiatan perisikan Amerika Syarikat. Contohnya, organisasi-organisasi yang ada di Amerika Syarikat. Kalau sebelum ini mungkin kita tahu CIA dan FBI sahaja. Tapi sebenarnya ada banyak lagi. 

 Aku pinjam buku ini dari perpustakaan universiti aku. Harga buku ini bernilai RM556.60. Rugi kalau mahasiswa tak manfaatkan untuk baca-baca buku mahal yang ada di rak perpustakaan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kawan Perempuan

Apa itu Pengajian Strategi?

Ulasan Buku Pinkie Promise