Ulasan Buku Sekufu
Separuh ataupun mungkin lebih daripada buku ini menerangkan bagaimana untuk mengurus konflik dalam perkahwinan. Kita terlalu mengagungkan dalam perkahwinan itu mesti mengelakkan daripada sebarang konflik berlaku. Konflik itu memang boleh dielakkan, tapi ada masa ia tetap akan datang. Jadi pasangan suami isteri perlu tahu macam mana untuk menguruskan konflik dalam rumah tangga. Suami dan isteri perlu uruskan konflik yang ada dan bukan lari daripada konflik itu.
Macam mana konflik dalam rumah tangga itu boleh berlaku? Antaranya, pasangan tidak mengetahui bahasa cinta atau love language. Ada lima bahasa cinta yang perlu kita tahu; 1) Kata-kata jaminan 2) Khidmat 3) Menerima hadiah 4) Masa berkualiti 5) Sentuhan fizikal.
Selalunya kalau lelaki bahasa cintanya ialah masa berkualiti dan untuk perempuan bahasa cintanya ialah khidmat. Ada satu situasi, si isteri merasakan suaminya tidak menyayanginya kerana si suami tidak menolongnya di dapur untuk memasak selepas pulang daripada kerja. Ini kerana bahasa cinta si isteri ialah khidmat. Manakala bahasa cinta si suami ialah masa berkualiti. Si suami menunjukkan rasa cintanya terhadap isteri dengan meluangkan masa bersamanya ketika menikmati makan malam sebagai contoh. Pada si suami, itulah cara untuk menunjukkan rasa sayang kepada isterinya kerana bahasa cinta si suami ialah masa berkualiti. Di sini penting untuk pasangan berbincang tentang bahasa cinta masing-masing supaya tidak berlaku salah faham dalam menunjukkan rasa cinta.
"Perkahwinan ialah penyatuan dua latar belakang, budaya dan cara fikir yang berbeza, lalu dicairkan dan diadun sehingga membentuk acuan yang baru."
Memetik kata-kata di atas, pasangan suami isteri mungkin dibesarkan daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Keluarga si suami tinggal di kawasan kampung dan mengamalkan perkahwinan tradisional. Bapa si suami merupakan seorang guru dan ibunya pula suri rumah. Apa-apa keputusan dalam keluarga kebiasaannya akan dibuat oleh bapanya. Kalau tugas memasak contohnya, akan diuruskan oleh ibunya.
Si isteri pula dibesarkan di kawasan bandar yang mana ibu dan bapa si isteri kedua-duanya bekerja. Kalau ibunya tidak sempat atau letih untuk menyediakan juadah makan malam, bapanya akan keluar membeli makanan ataupun mungkin keluarga mereka akan keluar dan makan di restoran.
Konflik akan timbul apabila si suami merasakan isterinya membelakanginya kerana tidak berbincang dengannya jika ingin membeli sesuatu seperti perabot walaupun menggunakan duit isterinya sendiri. Si isteri seorang yang bekerja dan dia melihat ibunya membeli barangan tanpa perlu meminta izin daripada ayahnya untuk membeli apa-apa sahaja. Sedangkan si suami melihat ibunya perlu merujuk kepada ayahnya jika mahu membeli apa-apa barangan yang dimahukan kerana ayahnya yang menjadi pembuat keputusan dalam keluarga. Di sinilah pentingnya pasangan perlu tahu tentang latar belakang keluarga masing-masing. Cara masing-masing dibesarkan mungkin berbeza dengan pasangan.
Selalu kita biasa dengar tentang pentingnya komunikasi dalam perkahwinan. Dalam buku ini menyatakan jenis-jenis komunikasi yang pasangan perlu dan apa gaya yang perlu diamalkan. Ada empat gaya komunikasi; 1) Pasif 2) Agresif 3) Asertif 4) Pasif-Agresif. Dalam perkahwinan, amalkan komunikasi yang berterus terang. Pasangan tak dapat nak membaca apa yang ada dalam minda masing-masing. Nak itu, cakap nak itu. Nak ini, cakap nak ini. Tak perlu berkias-kias walaupun di depan anak-anak.
Masalah lain yang timbul dalam rumah tangga apabila pasangan terlalu fokus apa hak yang patut diterima daripada menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kalau dua-dua menunaikan tanggungjawab, masing-masing akan menerima haknya. Kedua-duanya perlu mempunya mentaliti memberi (provider mindset) terhadap pasangan.
Buku ini sangat bagus untuk sesiapa yang bakal mendirikan rumah tangga ataupun yang sudah berkahwin digalakkan juga untuk membaca. Contoh situasi yang diberikan dalam buku ini sangat bagus. Ia menguatkan lagi hujah penulis kepada pembaca. Penulis menggunakan teori-teori yang dikemukakan oleh pakar perkahwinan yang dapat memberikan satu cetusan idea bagaimana pasangan boleh menguruskan konflik dalam rumah tangga. Sebuah buku yang dapat menjadi panduan kepada pasangan-pasangan di luar sana.
Ulasan
Catat Ulasan